STADIUM Nasional Bukit Jalil bergema dengan sorakan lebih 72,000 penyokong malam ini apabila pasukan gabungan ASEAN All-Stars mencipta kejutan besar menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi Maybank Challenge Cup 2025.
Meskipun hanya sempat berlatih bersama selama satu hari, skuad bimbingan Kim Sang Sik tampil dengan semangat luar biasa, mendominasi perlawanan sejak separuh masa pertama dan menampilkan corak permainan bertenaga yang membuatkan pengurus United, Ruben Amorim kelihatan tidak senang duduk.
Pemain tengah Vietnam, Hai Long Nguyen menjadi ancaman utama kepada benteng The Red Devils, kerap mengucar-kacirkan gandingan pertahanan lawan dengan larian dan hantaran yang bijak. Minit ke-26, Sandro Miguel hampir memecah kebuntuan melalui satu rembatan menarik yang memaksa Andre Onana bekerja keras menepis bola sebelum diselamatkan pertahanan.
Merasakan tekanan yang tidak berkurang, Amorim membuat keputusan drastik dengan melakukan empat pertukaran pada minit ke-30 — mengeluarkan Casemiro, Hojlund, Maguire dan Dalot untuk digantikan dengan Sekou Kone, Jaydan Kamason, Daniel Arner dan Shea Lacey. United hampir mendahului menerusi Kobbie Mainoo pada minit ke-33 namun diselamatkan cemerlang oleh penjaga gol ASEAN, Patiwat Khammai. Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
Memasuki separuh masa kedua, Amorim memperkuatkan jentera tengah dan serangan dengan memasukkan Bruno Fernandes dan Alejandro Garnacho. Namun ia masih belum cukup untuk menyekat momentum ASEAN.
Detik gemilang hadir pada minit ke-71 apabila pemain sayap Myanmar, Maung Maung Lwin meledak gol tunggal perlawanan menerusi rembatan cantik ke penjuru kiri gawang, menewaskan penjaga gol gantian United, Altay Bayindir. Gol itu hadir hasil hantaran lorong sempurna oleh Adrian Segecic.
Kim Sang Sik terus melakukan pertukaran taktikal dengan memasukkan penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli pada minit ke-80, menggantikan Patiwat. Ketika United mula menggandakan tekanan, para pemain ASEAN dilihat berkampung di kawasan sendiri, bertahan habis-habisan demi mempertahankan kelebihan.
ASEAN hampir menambah jaringan pada minit ke-85 menerusi Adrian Segecic, namun percubaannya ditepis kemas oleh Bayindir.
Tamat perlawanan, keputusan 1-0 kekal memihak kepada ASEAN All-Stars — satu kemenangan bersejarah buat bola sepak rantau ini yang pastinya dikenang sebagai detik kebangkitan dan kebanggaan bola sepak Asia Tenggara.