IMPIAN pertembungan Nusantara Malaysia–Indonesia tidak kesampaian di pentas ASEAN Hyundai Cup 2026 apabila keputusan undian di Jakarta mengesahkan Harimau Malaya dan Garuda tidak berada dalam kumpulan yang sama.

Sebaliknya, skuad kendalian Peter Cklamovski diundi dalam Kumpulan B bersama seteru tradisi Thailand, selain Myanmar, Laos dan Filipina, sekali gus menjanjikan laluan mencabar dalam misi kebangkitan bola sepak negara.

Kejohanan edisi 2026 ini dilihat sebagai pentas penting buat Harimau Malaya menebus kekecewaan edisi 2024 apabila gagal melepasi peringkat kumpulan, dengan hanya mencatat satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan di bawah kendalian Pau Marti Vicente.

Kempen tersebut menjadi penampilan terakhir Pau Marti bersama skuad negara sebelum tugasnya diambil alih oleh Cklamovski pada Januari 2025, dan edisi kali ini memberi peluang buat jurulatih baharu itu mencorakkan semula identiti pasukan.

Malaysia masih memburu kejayaan di peringkat serantau selepas kali terakhir menjulang trofi pada edisi 2010, dan meskipun ‘jodoh’ dengan Indonesia tidak tercipta di peringkat kumpulan, cabaran sebenar Harimau Malaya kini tertumpu kepada Thailand yang dijangka menjadi penghalang utama dalam usaha melangkah lebih jauh.