SHEVON Lai kini mencari kaedah terbaik untuk dirinya dan Goh Soon Huat mencari penyelesaian setelah menemui kunci kelemahan sendiri iaitu lambat panas, setiap kali turun ke gelanggang.

Pemain badminton paling senior negara itu berkata, dia perlu segera meningkatkan kelajuan (pace) seawal memasuki perlawanan selain mengawal emosi serta minda bagi mengelak permulaan perlahan.

Pasangan beregu campuran negara itu bangkit untuk menewaskan wakil Thailand, Ruttanapak Outphong-Jenicha Sudjaipraparat 17-21, 21-15, 21-6 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung selama 52 minit di Terbuka India 2026, sebentar tadi.

Katanya, faktor persekitaran seperti tiupan angin dan kelajuan bulu tangkis turut mempengaruhi, namun kawalan emosi dan minda kekal aspek paling mencabar.

Soon Huat pula menegaskan ketenangan serta fokus terhadap pelan permainan adalah kunci untuk memastikan mereka tidak terus dihukum di awal perlawanan.

“Kedua-duanya memainkan peranan. Rancangan taktikal lawan dan juga persekitaran seperti tiupan angin (drift), kelajuan bulu tangkis dan sebagainya. Kami sedar kami adalah ‘slow starters,’ jadi kami perlu lebih fokus untuk masuk ke dalam rentak permainan dengan lebih pantas,” kata Shevon kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Dalam pada itu, hasrat melihat satu lagi beregu campuran profesional negara ke suku akhir tidak kesampaian setelah Jimmy Wong-Lai Pei Jing tewas kepada pilihan utama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 21-18, 17-21, 10-21.

Justeru, Soon Huat-Shevon akan membuat perhitungan suku akhir menentang Yan Zhe-Dong Ping dalam misi memburu slot ke separuh akhir, esok.