MALAYSIA Tigress hanya akan diberi cuti hari raya selama sehari bagi memastikan perancangan yang dibuat jurulatih, berada di landasan tepat.
Ketua jurulatih Soleen Al-Zoubi berkata, paling lama tempoh cuti yang boleh dia pertimbangkan hanya sehari setengah.
“Saya hanya akan beri cuti sehari sahaja kerana kami dalam peringkat melihat kemajuan latihan berintensiti tinggi, fokus kepada tahap kecergasan.
“Jika beri rehat dua hari, saya rasa itu melampau paling tidak saya berikan sehari setengah, petang hari terakhir Ramadan dan hari raya,” kata Soleen, ditemui pada sesi latihan skuad bola sepak wanita ke Sukan Sea Kemboja, di Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua jurulatih Soleen Al-Zoubi hanya memberikan cuti hari raya sehari, bagi mengekalkan tahap kecergasan pemain.
Menurutnya, selepas tempoh kira-kira tiga minggu latihan, pemain mula menampakkan kemajuan, namun agak sukar untuk beliau menerapkan gaya permainan baharu.
“Kebanyakan pemain agak pintar, memahami arahan dengan pantas tetapi kemajuannya agak memakan masa terutamanya apabila kita menerapkan gaya permainan tertentu, tidak mudah namun ada kemajuan.
“Untuk menerapkan taktikal perlawanan pula, kita perlukan masa kerana ada pemain yang kekurangan asas bola sepak yang sebenar.
“Apabila kita mahu melihat penguasaan bola, cara mengembangkan permainan dari bawah dan sebagainya, pemain perlu mempunyai asas bola sepak seperti melakukan hantaran dan menerimanya, inilah yang menyebabkan kemajuan agak perlahan.
“Kita bangunkan pasukan baru, perlu bersabar untuk mengadaptasi gaya permainan bola sepak sebenar,” katanya.

Skuad bola sepak wanita negara ke Sukan Sea Kemboja, menjalani latihan di padang MSN.
Mengulas mengenai perlawanan persahabatan antarabangsa, Soleen mengakui skuad wanita negara tidak berpeluang mendapatkannya sebelum temasya Sukan Sea Kemboja.
Katanya, dua negara terpaksa menolak untuk datang ke Malaysia bagi menghadapi perlawanan persahabatan seperti Maldives kerana mereka tidak dapat datang lebih awal.

“Kebanyakan pasukan beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia, jadi selepas perlawanan itu, mereka tiada perancangan untuk persahabatan.
“Malah saya lebih gemar pemain kita beraksi di sini kerana semuanya kita ada di sini, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sediakan segala-galanya.
“Namun, kita akan gantikan perlawanan persahabatan antarabangsa itu dengan perlawanan latihan tertutup, menentang skuad bawah 18 tahun (B-18) dan bawah 20 tahun (B-20) lelaki sebelum ke Kemboja,” katanya.
Beliau mengesahkan Malaysia Tigress akan bertolak ke Kemboja pada 1 Mei depan, dan skuad 25 pemain ini hanya akan memutuskan 20 pemain yang akan dibawa ke temasya dwi tahunan itu, dua hari sebelum bertolak, bagi mengelakkan isu kecederaan pemain.