SKUAD 26 pemain senior lelaki kebangsaan akan digasak veteran Vat69 Komando selama 10 hari di Lenggong, Perak sebagai sebahagian daripada program persiapan menghadapi kejohanan besar kempen Piala Dunia 2023 dan juga Piala Sultan Azlan Shah, bulan hadapan.

Program Pemantapan Pasukan atau ‘team building’ itu diatur di Amazing Camp Legacy: Legend by Nature di Kampung Danglang, Kuak, Lenggong, Perak, adalah sebahagian daripada program memperkuat mental dan fizikal pemain selain daripada latihan fizikal, teknikal dan taktikal di atas padang.

Amazing Camp Legacy: Legend By Nature, sesuai untuk Program Pemantapan Pasukan, membabitkan pelbagai aktiviti termasuk latihan ala ketenteraan.

Inisiatif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) itu pastinya disambut baik Ketua Jurulatih A Arul Selvaraj, yang sebelum ini pernah menyuarakan hasrat membawa pemainnya ke program terbabit yang lebih bersifat ala ketenteraan.

Menurut Arul, dia mahukan pemainnya saling mempercayai sesama rakan sepasukan, ketahanan menyerap tekanan sebagai sebuah pasukan dan mampu menyelesaikan masalah secara bersama dalam mengharungi setiap cabaran.

Amazing Camp Legacy: Legend By Nature, jauh dari kesibukan kota, sesuai untuk melatih pemain hoki negara untuk fokus.

“Kita nak cungkil emosi pemain dan maruah atau jati diri mereka supaya memberikan semua yang ada dalam diri, ketika beraksi untuk Malaysia.

“Selepas tamat program ini, kita mahu pemain menunjukkan satu sikap di atas padang iaitu saling mempercayai, berkerjasama sebagai satu pasukan dan memikul tanggungjawab dengan baik. Saya mahu lihat pemain memiliki sifat patriotisme yang akan membantu mereka mempertahan gawang selain memburu kemenangan,” kata Arul, dalam kenyataan dikeluarkan KHM.

Amazing Camp Legacy: Legend By Nature.

Tambahnya, setiap pemain perlu mempunyai sikap mahukan kemenangan dan meredah apa sahaja halangan di hadapan.

Amazing Camp Legacy: Legend By Nature, diilhamkan veteran Vat69 Komandu yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun.