“MARAH sebab kalah teruk 5-0 semalam.
Itu antara reaksi netizen terhadap sikap sebahagian penyokong bola sepak negeri itu yang meninggalkan bekas makanan serta minuman mereka selepas menonton aksi Liga Super di Stadium Negeri Kuching, Sarawak pada Khamis.
Tinjauan di ruang komen media sosial mendapati, rata-rata pengguna mengecam tindakan segelintir penyokong bola sepak yang meninggalkan stadium dalam keadaan kotor.
“Mentaliti masih lemah..pelajari dari Jepun.. semua bermula dari rumah,” kata Mohd Azreen.
“Mentaliti. Sebagusnya kita bawa satu beg plastik. Bila dah habis perlawanan,simpan dalam plastik dan buang kat tong besar. Tolong la warga Kuching, sama-sama kita disiplin dan jaga kebersihan,” kata Alex Alexander.
Turut tular beberapa keping gambar yang memaparkan keadaan stadium penuh dengan sampah sebaik sahaja perlawanan itu tamat menerusi Facebook Persatuan Bola Sepak Sarawak : FAS Official’s.
“Sungguh mengejutkan apabila melihat begitu banyak sampah di merata tempat. Kenapa ada sesetengah orang membuang sampah merata-rata?
“Ini adalah cara asas, sila jangan bergantung pada perkhidmatan pembersihan semata-mata.
“Amat memalukan orang dari luar Kuching menyaksikan gelagat seperti ini dari penduduk Kuching.
“Kami tahu orang Kuching boleh melakukan yang lebih baik. Tolong buang sampah anda ke dalam tong sampah,” menurut kenyataan itu.