AKSI Liga Super ke-21 antara Kedah Darul Aman FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman pada Sabtu sudah pasti menjadi tumpuan semua peminat bola sepak tempatan kerana JDT berpeluang merangkul kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut jika berjaya menewaskan Kedah.

JDT yang menunggu detik sahaja untuk disahkan sebagai juara liga hadir ke Alor Setar dengan rekod yang sangat menakjubkan — 20 kemenangan dari 20 perlawanan dan hanya bolos empat gol dan sudah menghasilkan 79 jaringan.

Kedah pula sudah tentu mahu mencari keputusan positif pada perlawanan ini di hadapan penyokong sendiri dan jika berjaya ianya sekaligus akan menunda pesta kejuaraan sedekad Harimau Selatan.

Sang Kenari juga seakan mendapat semangat baharu apabila menewaskan musuh tradisi, Penang FC pada minit akhir perlawanan untuk memastikan saingan merebut tempat kedua liga masih terbuka dan mendebarkan.

Pengendali JDT, Esteban Solari mendedahkan dia gembira jika JDT berjaya mengesahkan kejuaraan Liga Super pada Sabtu supaya mereka boleh mula meletakkan fokus dan bersedia untuk menghadapi Liga Juara-Juara AFC yang bakal bermula pada September.

“Sudah pasti ianya akan membantu kami jika dapat mengesahkan kejuaraan lebih awal kerana kami boleh menumpukan perhatian kami kepada ACL yang memerlukan lebih tenaga dan kekuatan mental tetapi kami perlu kekal tenang dan mengambil satu demi satu perlawanan,” katanya ketika ditemui di majlis undian rasmi Liga Juara-Juara AFC di Bukit Jalil.

Pengendali JDT, Esteban Solari

Sementara itu bagi ketua jurulatih Kedah, Nafuzi Zain pula mahu para pemainnya bersikap positif dan memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri apabila berhadapan Harimau Selatan.

“Kami perlu bersikap positif apabila bertemu JDT di tempat sendiri. Kita akan cuba yang terbaik kerana apa yang penting adalah usaha dan keputusan akan datang selepas itu. Kami juga harap dapat berikan persembahan terbaik apabila berhadapan dengan pasukan yang baik seperti JDT,” katanya selepas aksi dengan Penang FC di Stadium Bandaraya.

Meskipun tanpa kehadiran Fernando Forestieri dan Leandro Velasquez yang mengalami kecederaan panjang, JDT dilihat tidak terkesan apabila dua lagi pemain import baharu — Heberty Fernandes dan Takahiro Kunimoto berjaya mengisi kekosongan itu dengan aksi yang cukup baik.

Pengendali Kedah, Nafuzi Zain

Kedah pasti mahu melupakan kekalahan 0-6 di Stadium Sultan Ibrahim pada pusingan pertama lalu dan Nafuzi sudah pasti mempunyai taktikal ampuh yang boleh digunakan untuk menyekat kemaraan barisan serangan JDT.

Mampukah Sang Kenari menunda parti kejuaraan Harimau Selatan di Darul Aman? Menarik untuk kita saksikan.