MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan berganda di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Johor, Iskandar Puteri, bulan depan.
Pengarah teknikal program berbasikal kebangsaan, John Beasley berkata, pelumba kelahiran Johor itu hampir pulih sepenuhnya daripada masalah tendinitis lutut kanan yang menghantuinya sejak Februari lalu, dan bersedia untuk berada di puncak prestasi.
“Shah sudah 80 peratus pulih, sekarang fokus untuk kuatkan lutut supaya kecederaan sama tak berulang,” kata Beasley, baru-baru ini.
Menurut Beasley, kejohanan kebangsaan yang akan berlangsung dari 20 hingga 25 Mei itu bakal jadi peluang terbaik buat Shah untuk menebus pencapaiannya sebelum ini yang sekadar memenangi satu acara sama ada pecut atau keirin.

Pengarah teknikal program berbasikal kebangsaan, John Beasley
“Tahun lalu (Datuk) Azizulhasni Awang sapu bersih dua acara itu. Tahun ini peluang Shah pula untuk cipta sejarah,” kata jurulatih berpengalaman itu.
Meskipun bergelut dengan kecederaan, prestasi Shah musim ini boleh dipuji selepas melakar kemenangan manis di pentas antarabangsa — menjuarai acara keirin di Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye bulan lalu, iaitu kemenangan pertamanya di kejohanan bertaraf dunia.
Dalam pada itu, teka-teki sama ada Azizulhasni bakal beraksi di kejohanan kebangsaan masih belum terjawab.
Beasley memaklumkan jaguh berusia 37 tahun itu yang kini bergelar pelumba profesional, masih dalam fasa pemulihan selepas berehat panjang sejak Olimpik Paris.
Azizulhasni sebelum ini mengambil masa untuk memikirkan masa depannya sebelum akhirnya mengumumkan keputusan untuk terus berlumba awal bulan ini — satu keputusan yang sudah tentu menggembirakan seluruh peminat sukan tanah air.