KELAB Kawasaki Frontale membuktikan kecekalan mereka apabila menewaskan Al-Sadd 3-2 dalam aksi dramatik suku akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite di Jeddah, awal pagi tadi, sekaligus menjadi satu-satunya wakil East Zone yang berjaya mara ke separuh akhir.

Dalam perlawanan yang penuh debaran di King Abdullah Sports City Stadium, Yasuto Wakisaka muncul wira Kawasaki selepas meledak gol kemenangan pada minit ketujuh masa tambahan, menamatkan perjuangan sengit menentang kelab gergasi Qatar itu. Kemenangan ini memastikan Kawasaki bakal bertemu Cristiano Ronaldo dan Al-Nassr dalam pertembungan separuh akhir yang penuh berprofil tinggi.

Kawasaki bermula pantas apabila Erison membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 hasil umpanan bijak Akihiro Ienaga. Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Paulo Otavio menyamakan kedudukan lima minit kemudian, memanfaatkan kesilapan penjaga gol Louis Yamaguchi yang gagal menyelamatkan rembatan deras.

Skuad kendalian Shigetoshi Hasebe terus menggandakan tekanan dan berjaya mendahului semula pada minit ke-21 menerusi jaringan Marcinho, yang tenang menolak masuk hantaran Yuki Yamamoto melepasi kawalan pertahanan Al-Sadd.

Memasuki babak kedua, momentum beralih kepada Al-Sadd dengan serangan bertali arus, sebelum Claudinho berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-71 hasil satu gerakan kemas dari Giovani. Perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan selepas tiada jaringan tambahan di separuh masa kedua.

Saat penat mula menghimpit kedua-dua pasukan, Kawasaki memanfaatkan kealpaan benteng Al-Sadd apabila kapten pasukan, Wakisaka bijak mengambil peluang di dalam kotak penalti untuk memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik mereka.

Kemenangan ini bukan sekadar bermakna buat Kawasaki, tetapi juga buat seluruh East Zone apabila mereka muncul satu-satunya kelab dari timur Asia yang berjaya menembusi empat terbaik. Ini selepas kegagalan Gwangju FC, Buriram United dan Yokohama F. Marinos yang masing-masing tersingkir di peringkat suku akhir.

Separuh akhir bakal menyaksikan Kawasaki Frontale menentang Al-Nassr pada 1 Mei ini, manakala satu lagi aksi separuh akhir melibatkan dua kelab gergasi Saudi, Al-Hilal dan Al-Ahli Saudi.