HASRAT ratu skuasy negara, S Sivasangari untuk meraih gelaran kedua kejohanan bertaraf Emas, disekat pemain nombor 1 dunia, Nouran Gohar.

Selepas menjuarai kejohanan London Classics (Emas) tahun lalu, Sivasangari berada di landasan terbaik untuk mencipta kemasyhuran baharu, namun pemain dari Mesir, tidak memberi ruang untuknya mencipta kejutan di kejohanan Terbuka Grasshopper, Zurich, Switzerland.

Biarpun berjaya mengatasi pemain nombor 6 dunia dari Belgium, Tinne Gillis di separuh akhir, Sivasangari yang menghuni ranking ke-11 terpaksa akur akan kehebatan Nouran yang menang straight set, 11-7, 14-12, 11-9.

Kekalahan itu juga bermakna Sivasangari masih belum dapat menewaskan Nouran dalam empat pertemuan sejak 2021.

Sementara itu, hasrat melihat sekurang-kurangnya Malaysia membawa kejuaraan skuasy minggu ini tidak tercapai apabila Ng Eain Yow dan Rachel Grinham terpaksa berpuas hati sebagai naib juara di kejohanan Terbuka On Fire, di Washington DC.

Eain Yow yang berada di ranking ke-10 dunia juga belum dapat menewaskan Marwan Elshorbagy (no.8) yang mewakili England dalam empat pertemuan, selepas tunduk 9-11, 9-11, 9-11.

Turut dikecewakan pemain wanita nombor dua negara, Rachel Arnold yang terpaksa akur kepada aguh Amerika Syarikat, Amanda Sobhy 1-4 menerusi keputusan 4-11, 3-11, 11-9, 9-11.
Ini adalah kekalahan ketiga Rachel di tangan Amanda yang masih mendahului 100 peratus rekod pertemuan.