PEMAIN sayap lincah, Muhammad Faisal Abdul Halim turut dikagumi CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Bertubuh kecil, tidak ramai menjangka pemain yang memiliki ketinggian 160 cm ini mampu menggegar kancah bola sepak negara.

Menurut Dr. Johan, semua kelab dan pasukan tentunya mengimpikan pemain yang memiliki kemahiran individu yang tinggi seperti Faisal Halim berbakti buat pasukan masing-masing.

Pencapaiannya bersama Sang Penyu jelas menjadi siulan ramai apabila berjaya memberi impak besar ke dalam skuad Terengganu serta pasukan kebangsaan.

Aksi lincah Faisal semasa beraksi di Piala Raja Thai baru-baru ini.

“Saya berpendapat mana-mana kelab di Malaysia berminat dengan Faisal Halim. Bukan sahaja Selangor, Kedah juga.

“Pasukan utama, kelab-kelab besar akan memilih Faisal Halim. Kualiti yang dia ada, kita tidak boleh sangkal. Musim masih berjalan. Saya rasa Faisal Halim juga perlu membuat keputusan yang besar.

“Impak dari pasukan kebangsaan juga kita boleh lihat. Untuk Terengganu juga, dia telah berikan yang terbaik untuk pasukan Terengganu. Saya puji pencapaian mereka dalam final Piala FA. Sekarang pun mengejar tiga terbaik dalam liga.

“Faisal Halim adalah satu watak utama dalam pasukan. Selain pemain-pemain lain, saya yakin ke mana dia pergi, dia akan memberi impak yang sama,” ujarnya ketika ditemui semasa sesi latihan di Padang SUK, Shah Alam.