JURULATIH baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe lebih gemar menerapkan falsafah yang mudah dengan menyelitkan elemen bola sepak moden terhadap pemain Gergasi Merah.

Antara faktor tarikan Selangor FC kepada Cheng Hoe adalah disebabkan barisan pemain yang ada pada kem Gergasi Merah terdiri dari kalangan pemain berpotensi dan berjiwa besar.

Biarpun begitu, dia tetap perlukan masa untuk pemain menyesuaikan diri dengan falsafah yang dibawanya bagi mengembalikan kegemilangan Selangor FC.

Dalam masa terdekat, bekas jurulatih Kedah itu lebih menumpukan terhadap peningkatan prestasi pemain dalam sesi latihan yang akan diadakan setiap hari.

Sesi latihan skuad Selangor FC di Padang SUK, Shah Alam.

“Falsafah yang mudah, saya rasa akan tekankan lebih kepada gaya bola sepak moden. Sudah tentu, saya akan melihat lebih kualiti individu, kesefahaman antara pemain.

“Memang setiap jurulatih ada falsafah tersendiri, dan kalau falsafah ini dapat memberi kejayaan kepada pasukan, sudah tentu saya akan teruskan dengan falsafah saya.

“Dalam masa yang terdekat, bukan mudah untuk pemain terapkan atau serap tekanan tersebut. Saya harap pemain cepat menyesuaikan diri dengan suasana.

“Setiap jurulatih sudah tentu mensasarkan yang terbaik tetapi ia tidak boleh dinilai dalam jangka masa yang pendek. Saya ingin melihat pemain menjadi semakin baik setiap hari dan apabila menjadi yang terbaik tentunya kami akan melayakkan diri untuk AFC.

“Salah satu sebab saya memilih Selangor adalah kerana saya melihat ramai pemain berpotensi besar bersama pasukan ini. Harapan saya adalah secepat mungkin saya boleh menggilap pemain. Bukan sahaja pemain senior, dan juga pemain yang memiliki jiwa yang besar akan diberi peluang,” ujarnya ketika ditemui semasa sesi latihan di Padang SUK, Shah Alam.