BINTANG tenis Amerika Syarikat, Serena Jameka Williams tewas mengejut 2-6 4-6 kepada pemain Switzerland, Belinda Bencic dalam aksi Terbuka Kanada yang berlangsung di Toronto pada Khamis.
Sebaik tiba di gelanggang, ratu tenis dunia itu disorak seluruh penonton yang menyaksikan kejohanan tersebut. Ia sebagai tanda penghormatan atas keputusannya untuk menggantung raket tidak lama lagi.
In Vogue’s September issue, @serenawilliams prepares to say farewell to tennis on her own terms and in her own words. “It’s the hardest thing that I could ever imagine,” she says. “I don’t want it to be over, but at the same time I’m ready for what’s next” https://t.co/6Zr0UXVTH1 pic.twitter.com/YtGtcc18a9
— Vogue Magazine (@voguemagazine) August 9, 2022
Bagaimanapun, pemegang gelaran 23 kali Grand Slam itu mengakui terpaksa akur kerana Bencic kerana tampil lebih kemas dalam aksinya hari ini.
“Ia adalah 24 jam yang menyeronokkan bagi saya. Saya tidak pandai mengucapkan selamat tinggal.
“Selamat tinggal Toronto. Saya mempunyai masa yang sangat indah semasa berada di sini dalam dan juga luar gelanggang. Saya akan datang semula tetapi mungkin sebagai penonton, ” kongsinya selepas tamat perlawanan menentang Bencic.
Tangisan mengiringi Serena apabila pihak penganjur membuat video penghargaan melibatkan komen-komen dari bintang dunia era sebelumnya seperti Billie Jean King dan beberapa pemain terkini seperti Coco Gauff dan Emma Raducanu yang menceburi dunia tenis disebabkan kredibiliti yang dipamerkan insan bernama Serena Williams.
Serena sebelum ini memberi bayangan bakal berundur selepas aksinya di Terbuka Amerika Syarikat. Namun, ianya masih belum dimuktamadkan ikon tenis dunia itu.
Kali terakhir dia menjuarai Grand Slam adalah pada 2017 menerusi Terbuka Australia ketika dirinya disahkan hamil dua bulan.
Kemunculannya selepas bersalin nyata memberi impak apabila berjaya menempah slot ke final Terbuka Amerika Syarikat bagi edisi 2018 dan 2019 serta Terbuka Wimbledon (2018 dan 2019).
Serena sehingga kini kekal menjadi satu-satunya bintang tenis yang masih aktif dengan rekod pencapaian Grand Slam tertinggi dengan 23 kejuaraan.