JURULATIH skuad kebangsaan Arab Saudi Roberto Mancini menyalahkan kelab Liga Pro Saudi selepas sekadar seri 1-1 menentang Indonesia dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, awal pagi Jumaat.
Kekecewaan Mancini terhadap kelab-kelab Liga Saudi berlaku kerana kebanyakan pemainnya hanya menjadi simpanan di setiap kelab sekali gus punca pemain pasukan Arab Saudi tidak dapat tampil kompetitif menentang Indonesia.
“Pemain Saudi mesti bermain sebagai permulaan untuk kelab mereka. Saya mempunyai 20 pemain duduk di bangku simpanan dalam perlawanan tempatan, dan tiada penyelesaian kepada dilema ini,” kata Mancini, dipetik oleh Ar Riyadiyah.
“Kami hanya perlu meningkatkan kerjasama kami dengan mereka. Di sebalik semua ini, pasukan negara mempunyai identiti dan gaya permainan yang istimewa,” kata jurulatih dari Itali itu.
Mengenai perjalanan perlawanan Arab Saudi dengan Indonesia, bekas jurulatih Manchester City dan Inter Milan itu menyerlahkan kegagalan pasukannya untuk melakukan penyudah. Mancini turut memuji pemain pasukan Indonesia.
“Perlawanan pembukaan sentiasa sukar, dan kami juga berdepan pasukan yang mempunyai pemain bagus yang bermain secara profesional dalam liga Eropah.
“Kami menghadapi masalah untuk menterjemah peluang, dan kami telah mengalaminya dalam perlawanan baru-baru ini, tetapi kami tidak hanya menggunakan keputusan sebagai ukuran prestasi kami,” tambah Mancini.
Arab Saudi seterusnya akan menentang China di Dalian pada Selasa manakala pada hari yang sama, Indonesia akan melayan kunjungan Australia di Stadium Utama Gelora Bung Karno.