KETUA Jurulatih Ragbi Lelaki 7 Sebelah Kebangsaan, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor, meletak jawatan hari ini, selepas kontraknya yang berakhir 31 Disember 2022, tidak disambung.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam kenyataan yang diedarkan berkata, Saizul Hafifi melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih bagi memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dan keluarganya.

“Saizul Hafifi membimbing pasukan kebangsaan selama 8 tahun bermula 2015, secara rasmi melepaskan jawatan bagi menumpukan perhatian kepada pendidikan dan keluarga selepas kontrak bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan KRM berakhir 31 Disember 2022,” kata KRM.

Menurut kenyataan itu, KRM berterima kasih dan menghargai sumbangan bakti dan khidmat Saizul Hafifi sepanjang mengendali Bungaraya 7.

“Pihak KRM belum memuktamadkan nama ketua jurulatih Bungaraya 7 yang baharu dan senarai calon bagi kekosongan jawatan itu akan diperhalusi Pengarah Kejurulatihan KRM bersama Pengarah Prestasi Tinggi KRM sebelum keputusan dibuat.

Sementara itu, Saizul Hafifi berkata, dia sudah memohon kepada KRM untuk meletak jawatan sejak Oktober lalu, selepas tiada tawaran lanjutan kontrak ditawarkan.

“Waktu itu KRM minta untuk meneruskannya sehingga kontrak sebenar saya berakhir, jadi saya teruskan. Saya pasti KRM sudah mempunyai perancangan lain selepas tiada tawaran lanjutan kontrak baharu untuk saya.

“Selain itu, sudah terlalu lama saya meninggalkan sekolah dan saya berasa perlu kembali untuk menabur bakti dengan Kementerian Pendidikan Malaysia,” kata Saizul Hafifi, ketika dihubungi.

Saizul engakui, sekiranya KRM memerlukan khidmatnya di masa akan datang, dia sedia membantu.