PENGENDALI PDRM FC, P.Maniam mengakui bertuah dengan kehadiran bekas penyerang sensasi Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun dalam pasukannya menjelang saingan bola sepak Liga Malaysia 2024-2025, Mei ini.

Ifedayo yang merupakan pemain kelahiran Nigeria itu menjadikan kemunculan dirinya bersama skuad The Cops adalah seperti kebangkitan aura positif PDRM FC.

Menurut Maniam, pemenang kasut emas tahun 2020 dan 2021 itu juga bakal menjadi contoh kepada pemain-pemain lain supaya masing-masing dapat beraksi dengan lebih baik.

“Dia salah seorang pemain terbaik di Malaysia dan sudah tentu kami bertuah kerana mempunyai Ifedayo. Dia juga mempunyai kualiti permainan tersendiri sebagai seorang pemain.

Ifedayo beraksi dengan penuh cemerlang dalam aksi persahabatan bersama KL City FC, pada Jumaat.

“Kalau kita bagi dia peluang di kesebelasan utama, pasti dia akan membuat jaringan. Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada dia sahaja, kita perlu ada pemain-pemain lain yang boleh jaringkan gol juga.

“Kita akan cuba lahirkan pemain-pemain seperti Ifedayo dan dia juga akan menjadi contoh kepada pemain-pemain lain,” kata pengendali ketika ditemui di Stadium MP Selayang pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Maniam turut menjelaskan bahawa skuad kendaliannya kini sedang berada di landasan terbaik untuk menempuh saingan Liga Super yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Setiap kelemahan juga sudah dikenal pasti dan berbaki masa yang ada sebelum sepak mula bermula, beliau akan memastikan anak buahnya telah bersedia sepenuhnya untuk ‘menggari’ pihak lawan di saingan akan datang.