KEDAH Darul Aman (KDA) FC hampir mencipta kebangkitan luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat PDRM FC dengan keputusan 3-3 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran 2024 di Stadium Selayang, malam Sabtu.

Dalam perlawanan penuh debaran ini, enam gol terhasil dengan dua jaringan pada babak pertama dan empat lagi pada separuh masa kedua.

Kedua-dua pasukan jelas menunjukkan karakter yang hebat dalam pertembungan yang sengit ini.

Ketua jurulatih Sang Kenari, Victor Andrag, memuji usaha keras para pemainnya yang tidak mudah menyerah walaupun berdepan situasi sukar.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pemain dan saya sentiasa menekankan bahawa karakter adalah keutamaan.

“Jika kita mempunyai keinginan, kita akan memperoleh sesuatu, walaupun mengambil masa,” ujar Victor dalam sidang media selepas perlawanan.

Menurut Victor, dua gol awal yang diperoleh pada separuh masa kedua memberikan motivasi besar kepada pasukan untuk terus berjuang.

Walaupun berdepan beberapa kecederaan yang memerlukan perubahan taktikal, Victor bangga dengan komitmen pemain yang mampu melaksanakan arahan dengan baik.

“Ketika separuh masa pertama, kami menghadapi cabaran taktikal, namun perubahan yang dilakukan pada separuh masa kedua membuahkan hasil.

“Gol-gol dalam tempoh empat minit itu benar-benar mengubah rentak permainan,” tambah Victor

Dalam perlawanan ini, salah seorang pemain muda, Danial Tarmizi, berjaya mencuri perhatian dengan Victor menyifatkan ini sebagai masa yang sesuai untuk memberi peluang kepada pemain muda berkembang, walaupun situasi perlawanan cukup mencabar.

“Danial ada ruang untuk meningkatkan prestasinya, saya sentiasa menggalakkan mereka kerana kesilapan itu biasa. Namun, reaksi selepas kesilapan itu yang penting,” ujar Victor.

Menjelang aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Victor menegaskan bahawa pasukan tidak boleh leka dengan keputusan seri ini.

“Kami tahu PDRM adalah pasukan yang baik dengan pemain import berkualiti, kami juga tidak menafikan kemampuan dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh pemain tempatan.

“Kami perlu terus memberikan motivasi kepada mereka untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” ujarnya lagi.

Akmal Zahir antara pemain KDA FC yang berjaya mencetak gol di Stadium Selayang, semalam.

Dalam pada itu, Victor turut mengingatkan pemain agar sentiasa fokus dan merendah diri untuk meminimumkan kesilapan dalam perlawanan seterusnya.

“Kejayaan ini bergantung kepada siapa yang melakukan kesilapan paling sedikit, fokus dan kerendahan hati adalah kunci kejayaan kami di Darul Aman nanti,” katanya.

Untuk rekod, KDA FC antara pasukan yang sedang dihimpit masalah gaji babitkan jumlah tunggakan yang besar sejak beberapa bulan lalu.

Aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran 2024 dijangka berlangsung sengit di Stadium Darul Aman pada 1 Februari nanti dengan kedua-dua pasukan kini bersiap sedia untuk mencipta sejarah mereka sendiri.