MELALUI musim yang mencabar sepanjang tahun lalu, pelumba basikal trek negara, Fadhil Zonis kini gigih mahu kembali ke prestasi terbaik yang pernah membawanya meraih pingat emas Kejohanan Asia pada 2023.

Begitupun, tidak mudah untuk Fadhil, apa lagi dia dan isteri, Nur Atiqah Khairulanuar, kini bergelar ibu dan bapa buat kali pertama tahun lalu.

Mengakui gembira dan bersyukur dikurniakan zuriat kembar Fathul Rizqi dan Fattah Rizqi, namun disebabkan kelahiran pramatang, bayi mereka berdepan beberapa komplikasi.

“Sangat mencabar… kedua-duanya kurang berat badan, dan paru-paru mereka belum cukup kuat, yang menyebabkan mereka mengalami jangkitan.

“Mereka banyak keluar masuk hospital. Pada satu ketika, mereka berada di hospital selama 10 hari berturut-turut, malah ada masalah untuk tidur.

“Saya terpaksa meninggalkan sebahagian besar sesi latihan kerana membantu isteri menjaga mereka, dan saya juga risau. Risaukan situasi itu akan menyukarkan saya untuk mengejar semula (latihan) apabila kembali ke trek.

“Alhamdulillah, kini mereka (anak) sudah berusia sembilan bulan dan menunjukkan banyak peningkatan. Saya sangat berterima kasih kepada isteri saya atas sokongannya yang membolehkan saya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan. Dia juga membantu saya dari segi pemakanan, yang sangat penting.

“Akhirnya, lumba basikal adalah kerjaya saya dan sumber pendapatan saya, jadi saya tidak boleh terlalu lama berehat daripada latihan. Saya perlu benar-benar fokus,” kata Fadhil.

Pelumba berusia 27 tahun itu, kini bertanding dalam Siri Piala Presiden di Velodrom Nasional di Nilai dan telah memenangi satu pingat emas dan dua pingat perak setakat ini.

Pingat emas dimenanginya pada perlumbaan keirin lelaki Siri Kedua Piala Presiden hari ini selain perak dalam acara keirin lelaki (Siri Satu) dan pecut individu (Siri Dua).

Siri Piala Presiden terbahagi kepada tiga siri: Siri Satu (14-15 Januari), Siri Dua (18-19 Januari), dan Siri Tiga (22-23 Januari).

Pelumba kelahiran Klang itu kelihatan lebih berotot sebagai persediaan untuk Kejohanan Asia bulan depan, yang juga akan diadakan di Nilai (21-27 Februari).

“Saya melalui fasa latihan kekuatan, dan kini saya sedang fokus untuk menyesuaikan fizikal saya menjelang Kejohanan Asia,” kata Fadhil.

Tambahnya, prestasinya bertambah baik, dan matlamat saya adalah untuk mencatat masa di bawah 60 saat dalam acara ujian masa satu kilometer di Kejohanan Asia.

“Sudah lama saya tidak berjaya memperbaiki rekod peribadi saya dalam acara itu. Pada 2023, saya hampir mencapainya tetapi tidak berjaya.

“Saya juga berharap dapat membantu Malaysia mara ke final dalam acara pecut berpasukan. Saya belum pasti sama ada akan bertanding dalam acara pecut individu dan keirin,” katanya.

Fadhil memegang rekod kebangsaan untuk ujian masa satu kilometer (1:00.35s), yang dicatatkan di Kejohanan Dunia Berlin 2020.

Dia meraih emas dalam acara tersebut di Kejohanan Asia 2023 dengan catatan masa 1:00.559s.