BUKAN isu umur persaraan, sebaliknya ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil terpinga-pinga mengenai statusnya ketika ini.

Menurut Manshahar, beliau masih menanti jawapan daripada pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas kontraknya berakhir Disember tahun lalu.

Mengakui belum menerima apa-apa surat makluman berhubung kontraknya itu, Manshahar bagaimanapun menyuarakan kesediaannya untuk terus berbakti sekiranya khidmatnya masih diperlukan.

“Saya tak pasti kontrak sambung atau tidak sebab tak dapat apa-apa surat atau makluman berhubung perkara itu (kontrak baru). Secara tak rasminya saya belum bersara lagi.

Manshahar Abdul Jalil harap terus bimbing Nur Sarah Adi hingga ke Sukan SEA Kemboja.

“Saya bersedia dan tiada masalah untuk teruskan tugas saya ketika ini. Bagi saya ini hanya satu proses biasa.

“Ketika ini saya masih menjalankan tugas saya melatih atlet seperti biasa cuma jawatan saya sebagai ketua jurulatih masih kena hold dulu,” katanya.

Sebelum ini, KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) dilaporkan sudah mencapai kata sepakat berhubung calon yang bakal menggantikan tempat Manshahar yang bersara.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling berkata, perkara itu akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini sebaik mendapat ‘lampu hijau’ daripada MSN.

Aksi atlet lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi pada Sukan SEA Vietnam 2021, di Stadium Nasional My Dinh.

Dalam pada itu Manshahar berkata, dia bersedia untuk melatih atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi untuk persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Kemboja 2023 meskipun tidak lagi bergelar ketua jurulatih kebangsaan selepas ini.

Justeru Manshahar berharap KOM akan memberi lampu hijau buat dirinya untuk mempersiapkan atlet itu dalam misi membutirkan pingat buat skuad negara di temasya dwi tahunan itu.

“Boleh tiada masalah… bergantung atas keperluan. Sebab saya belum berbincang dengan Sarah berkenaan perkara ini… belum rasmi lagi.

“Ketika ini saya masih membantu Sarah. Kalau boleh biarlah saya melatih dia sampai Sukan SEA untuk kekalkan prestasi dia.

“Tapi itu semua bergantung kepada KOM sebab nanti MSN akan menerima segala keputusan yang dibuat KOM,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Sarah harap Manshahar terus bimbingnya sehingga Sukan SEA Kemboja

Manshahar bersara, sudah ada calon pengganti