Foto: PENANG FC

PENANG FC sebagai tuan rumah Piala Harapan yang akan dilangsungkan di Stadium Batu Kawan, namun Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira tidak menganggap ianya sebagai kelebihan meskipun bermain di laman sendiri.

Jelasnya, Piala Harapan merupakan medan terbaik baginya menguji kemampuan pasukan dan ingin melihat tahap sebenar Harimau Kumbang bersaing dengan pasukan gergasi yang lain menjelang sepak mula Liga Super.

“Walaupun ini Piala Harapan yang dianjurkan Penang FC sendiri, saya lebih fokus kepada menilai kemampuan pemain saya sendiri.

“Sebab kita tahu pasukan yang turut terlibat adalah pasukan yang besar. Kedah, Selangor, Geylang adalah pasukan yang besar.

“Ini adalah medan terbaik untuk menguji tahap pasukan berada di mana. Selepas dari Piala Harapan, kita dapat melihat dimanakah tahap sebenar Penang FC dan apa yang peluru diperbaiki,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, Manzoor ingin melihat pasukan Penang FC memberi persembahan dan keputusan yang lebih baik pada musim ini berbanding saingan liga musim lalu.

Tambahnya, jika pasukan berjaya merangkul mana-mana piala buat Penang FC, ia merupakan bonus untuk skuad yang baru sahaja dibentuk dengan hampir keseluruhan pemain baharu.

“Kalau boleh, dalam lingkungan 10 yang terbaik dalam Liga Super. Kalau boleh dapat lebih itu kira bonuslah.

“Sebab rata-rata kita dibarisi pemain baharu. Jadi, kalau boleh menang piala itu memang sesuatu yang baik buat pasukan,” ujarnya.

Pada aksi Penang FC bertemu Perak semalam (Sabtu), skuad kendalian Manzoor Azwira berjaya menewaskan Perak 1-0 dalam pertemuan yang berlangsung di gelanggang lawan Stadium Ipoh, Perak.