PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MAFA) mengesahkan mereka tidak akan menghantar pasukan untuk menyertai Liga Super musim 2024-25 menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden MAFA, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri selepas pihak MAFA mengadakan pertemuan bersama sebuah kelab Liga MBSB Bank Championship di bawah kelolaan Amateur Football League (AFL) bagi membincangkan perkara berkenaan.

Menerusi kenyataan media itu, tidak ada kata putus dicapai selepas kedua-dua belah pihak tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang dibincangkan sekali gus MAFA membatalkan hasrat untuk kembali ke Liga Super.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh MAFA

Atas sebab itu, Melaka FA hanya akan menumpukan kepada pasukan-pasukan pembangunan negeri bagi penyertaan Piala Presiden, Piala Belia, Futsal dan Bola Sepak Wanita bagi meningkatkan lagi prestasi pasukan-pasukan berkenaan.

Pihak persatuan juga memutuskan untuk terus memberi tumpuan kepada struktur petadbiran, kewangan dan penajaan bagi persiapan tahun-tahun mendatang selain mahu hubungan bersama penyokong kekal erat demi masa depan yang lebih gemilang buat bola sepak Melaka.

Kenyataan yang dibuat Melaka FA ini menjadikan mereka pasukan kedua yang menarik diri untuk menyertai Liga Super sebagai pasukan slot ke-14 selepas KL Rovers turut menjelaskan hasrat mereka bertanding di Liga Singapura.

Barisan Exco Melaka FA

Perkara ini berbangkit selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa Perlis United mungkin diberikan lesen bersyarat untuk beraksi di Liga Super 2024-25.