PASUKAN Women Social Football & Futsal Sport Club (WSF SC) mendapat suntikan semangat apabila jenama sukan terkenal, Kelme menaja set jersi sempena Walking Football International Tournament yang bakal berlangsung di Bangkok bermula 8 Disember ini.

Jenama Kelme yang tidak asing lagi dalam dunia sukan bola sepak dan futsal kini bersedia melebarkan pasaran mereka untuk walking football yang sudah mula bertapak di Malaysia.

Tajaan ini juga semestinya telah memberi semangat dan motivasi kepada semua pemain WSF SC yang mewakili Malaysia pada kejohanan tersebut.

Kapten pasukan yang juga peneraju utama WSF SC ini, Jamy AJ mengakui sokongan tajaan daripada pihak Kelme sangat membantu dalam persediaan ke Bangkok ini.

Jelasnya juga,  pasukan walking football WSF masih baharu ditubuhkan dan peluang ke Bangkok ini merupakan pengalaman berharga untuk semua.

“Saya juga teruja menerima pelawaan daripada Rachel Gomez (pemilik N9WFC – Negeri Sembilan Walking Football Club) yang mahu WSF SC menghantar wakil untuk kategori wanita yang berusia 40 tahun.

“Berbekalkan pengalaman bermain futsal dan bola sepak, inisiatif diambil dengan mengumpulkan rakan-rakan yang berusia 40  hingga 49 tahun.

“Persiapan pasukan juga sememangnya suntuk dan pendek, malah tidak dinafikan kekangan masa antara faktor utama dalam memastikan pasukan bersedia untuk bersaing di pentas antarabangsa.

“Namun, berbekalkan semangat ingin mencuba dan perasaan dapat mewakili negara, kami semua sanggup berkorban mengeluarkan belanja sendiri.

“Penyertaan pertama kali ini sudah pasti lebih bersifat ingin menimba pengalaman, namun tidak bermakna WSF SC mengambil sikap sambil lewa dalam mempelajari dan memahami sukan walking football ini,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Pasukan WSF SC (ungu) turut mengadakan perlawanan persahabatan bersama N9WF (putih) dan pasukan Walking Football Universiti Malaya sebagai persiapan sebelum ke Bangkok.

Bagi memastikan persediaan sebelum kejohanan, pasukan ini turut mengadakan latihan setiap hari Jumaat.

Malah, WSF  juga berkesempatan mengadakan perlawanan persahabatan di antara N9WFC dan WAFUM (Walking Football Universiti Malaya) sebelum berlepas ke Bangkok.

Untuk rekod, walking football atau bola sepak berjalan ini dikhususkan untuk golongan warga emas atau sekurang-kurang yang berusia lebih 40 tahun, bermain enam atau tujuh sebelah tanpa sentuhan dan tidak dibenarkan berlari.