BENDERA negara bukan alat yang boleh dipermainkan, kerana melibatkan maruah negara.
Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau sudah muak dengan senario yang berlaku kebelakangan ini, apabila pihak tertentu melakukan kesalahan dan mengakhirinya dengan sekadar permohonan maaf.
“Bendera sesuatu yang tidak boleh kita main-mainkan, apapun alasan kita tidak boleh membiarkannya.
“Setiap kali dan sudah banyak kali menjadi begini, seperti budaya baharu… buat salah, minta maaf,” kata Megat, ditemui di Putrajaya.
Terdahulu, beliau yang juga Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), dalam ucapan menegur skuad silat yang menggalas cabaran ke Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 dan Kejohanan Pencak Silat Remaja Dunia kelima di Abu Dhabi, 18 hingga 22 Disember ini, berhati-hati dan teliti terutamanya berkaitan bendera yang dipapar di dada.
“Saya sendiri pernah lalui ketika menjadi Chef de Mission (CdM) Sukan Sea di Filipina, ketika penyampaian pingat emas pertama melibatkan atlet negara.
“Saya melihat bilangan jalur pada Jalur Gemilang tidak mencukupi… saya segera meminta penganjur menghentikannya biarpun majlis itu disiar langsung di televisyen.
“Ini bukan salah kita tapi penganjur, malah bukan bendera terbalik tetapi tidak cukup jalur, namun ia berkaitan maruah sebuah negara.
“Kalau bukan kita (warganegara) pertahankan, tidak mungkin orang lain mahu pertahankan bagi pihak kita,” katanya.
Beberapa hari lalu, pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia menukar jersi pada waktu rehat perlawanan, dan jersi yang ditukarnya tertera bendera Malaysia yang dipamerkan terbalik di dada.
Insiden itu mencetuskan kontroversi sehingga peminat badminton berbahagi pendapat yang berbeza.
Difahamkan penaja utama Zii Jia, jenama Viktor telah membuat permohonan maaf selepas insiden itu menjadi topik hangat di sosial media.