PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) gembira kerana berjaya menganjurkan Kejohanan Asia Pacific Deaf Sports 2024 dengan jayanya menggantikan Iran meskipun mempunyai waktu persiapan yang singkat.

Kejohanan yang disertai 21 negara itu melibatkan tujuh jenis sukan yang berlangsung di sembilan venue sekitar Lembah Klang dan pihak MSDeaf teruja kerana berjaya mengatasi pelbagai rintangan yang dihadapi demi menjayakannya.

Presiden MSDeaf, Dr. Ong Shin Reunn berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi memastikan kejohanan ini dapat dilangsungkan dengan baik sekaligus mengangkat nama Malaysia sebagai tuan rumah di peringkat antarabangsa.

Presiden MSDeaf gembira dengan penganjuran Kejohanan Asia Pacific Deaf Sports 2024

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terutama menterinya, YB Hannah Yeoh yang sentiasa memberikan kami sokongan untuk menjadi tuan rumah meskipun mempunyai tempoh masa yang cukup singkat..

“Tidak lupa juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan kelulusan peruntukan RM3 juta kepada MSDeaf bagi memastikan atlet-atlet mampu bersaing lebih baik dalam kejohanan ini selain sebagai persiapan ke Sukan Deaflympic Tokyo 2025”.

Malaysia meletakkan sasaran 5 pingat emas namun hanya berjaya membawa pulang empat pingat emas namun ianya adalah satu pencapaian yang baik buat kontinjen negara dan ini dijadikan semangat untuk menghadapi Sukan Deaf Asean dan Deaflympic Tokyo tahun hadapan.

Malaysia memenangi empat pingat emas untuk menduduki tangga ketujuh keseluruhan

Sementara itu, Penasihat MSDeaf, Sheikh Farouk menjelaskan kejayaan penganjuran kejohanan ini membuktikan sukan orang pekak juga perlu diletakkan setaraf dengan sukan atlet normal dan sukan para pada masa akan datang.

“Kita perlu membangunkan nama persatuan dan atlet sukan pekak ini untuk menjadi lebih dikenali di masa hadapan dan bagi memastikan ianya mempunyai tahap dan standard yang sama dengan sukan para dan biasa.

“Ini penting untuk memastikan Malaysia berterusan menjadi rakan strategik yang menjadi pilihan bersama Persatuan Antarabangsa Pekak sebagai tuan rumah untuk berbagai sukan orang pekak di masa hadapan,” ujarnya.

Kedudukan terakhir kutipan pingat Kejohanan Asia Pacific Deaf Sports 2024

Pada kejohanan yang berlangsung dari 1 hingga 8 Disember itu, Malaysia memperoleh empat emas, empat perak dan 10 gangsa untuk menamatkan saingan di tangga ketujuh keseluruhan dengan jumlah 18 pingat.

Iran muncul juara keseluruhan dengan 24 emas, 17 perak dan 21 gangsa manakala Korea Selatan kedua dengan 21 emas, 10 perak dan 17 gangsa manakala China ketiga dengan 19 emas, sembilan perak dan lapan pingat gangsa.