KELAB dari Perak, Kuala Kangsar BRM FC bakal menarik diri daripada beraksi dalam kempen Liga M3 2023.

Berdasarkan daripada informasi Facebook rasmi kelab, Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Kangsar BRM FC, Ghafari Nasir berkata penarikan itu berpunca akibat isu penajaan pasukan.

“Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan perkara yang berlaku berkaitan isu penajaan dari sebuah syarikat rokok elektronik.

“Rentetan isu ini, berkebarangkalian besar pasukan Kuala Kangsar BRM FC akan menarik diri dari saingan Liga M3 2023 atas masalah penajaan yang kami hadapi.

“Ahli lembaga pengarah kelab akan bermesyuarat dan membuat keputusan dalam masa yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

 

Sebelum ini, sebuah portal bola sepak tempatan mempersoalkan penajaan sebuah syarikat vape terhadap kelab tersebut kerana dianggap melanggar syarat penajaan pasukan bola sepak dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 atau tidak.