Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menitahkan agar penganjuran Piala Sultan Selangor bagi tahun 2026 dibatalkan ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

Titah tersebut melibatkan perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura yang selama ini menjadi antara acara tradisi penting dalam kalendar bola sepak tempatan.

Baginda sebaliknya mencadangkan agar satu kejohanan baharu diperkenalkan sebagai alternatif, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi.

Menurut baginda, kejohanan Piala Jubli Perak wajar dianjurkan melibatkan pemain bawah 15 tahun dari seluruh daerah di Selangor.

Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik untuk mencungkil bakat baharu serta menyemai minat terhadap sukan bola sepak dalam kalangan generasi muda.

Baginda turut menegaskan bahawa bola sepak merupakan sukan paling popular di negeri Selangor dan perlu terus diperkasakan melalui pembangunan berstruktur di peringkat akar umbi.

Cadangan tersebut dijangka memberi impak jangka panjang terhadap pembangunan pemain muda serta kesinambungan bola sepak negeri.

Sumber Gambar: FB Selangor FC