BEKAS penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha disahkan menyertai barisan kejurulatihan Kuala Lumpur City FC apabila dilantik sebagai pembantu jurulatih untuk skuad B-23 tahun KL City Extention untuk musim 2024-25.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard yang menyatakan Norshahrul atau mesra disapa Matyo akan menggalas jawatan jurulatih serangan buat skuad muda KL City.
Matyo akan ditugaskan untuk melatih pemain bahagian serangan agar menjadi penyerang yang lebih baik dan diharap dapat bersaing dengan penyerang import di masa akan datang.
“Sah Norshahrul Idlan Talaha sebagai salah seorang pembantu jurulatih untuk skuad B-23 tahun KL City dengan pengalaman yang ada pada dirinya dalam kancah bola sepak sepanjang lebih 15 tahun.
“Kami di KL City melihat pasukan ini mempunyai banyak pemain serangan berbakat, jadi berdasarkan perbincangan teknikal bersama barisan kejurulatihan, kami perlukan jurulatih yang mempunyai ‘offensive minded‘.
“Jadi Matyo menepati kehendak itu dan berharap dia berjaya membawa pengalamannya sebelum ini untuk membantu penyerang baharu lebih mempunyai ‘offensive minded‘ dan melahirkan pemain yang sepertinya,” katanya ketika ditemui media.

Stanley Bernand mahu Matyo bantu tingkatkan kualiti penyerang tempatan KL City
Kemasukan Matyo juga meneruskan legasi pemain legenda yang berkhidmat dengan KL City di mana sebelum ini Shukor Adan telah dilantik menjadi penolong jurulatih kepada Bojan Hodak pada musim 2022.
KL City agak konsisten dari segi pengambilan pemain legenda seperti Indra Putra, Safee Sali dan Shukor Adan sebelum ini. Shukor adalah contoh terbaik transisi dari pemain ke jurulatih dan kami di sini mahu bekas-bekas pemain ini dapat memberikan semula kepada komuniti bola sepak,” jelasnya.
Skuad Kuala Lumpur City Extention akan beraksi di Piala MFL dan musim lalu pasukan ini berjaya melahirkan banyak bakat-bakat penyerang baharu seperti Haqimi Azim yang kini beraksi bersama skuad utama dan pasukan kebangsaan.