“KALAU menjadi Presiden FAM, saya sedia berkerja tanpa gaji!”

Demikian kenyataan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin ketika menawarkan diri bertanding jawatan pada kongres pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), 15 Februari depan.

Menurutnya, jika berpeluang, beberapa perkara utama akan diberi penelitian sebaik duduk di kerusi presiden badan induk bola sepak negara itu.

“Jika berpeluang, saya akan membentangkan kedudukan akaun persatuan di hadapan ahli gabungan… kita akan sama-sama melihat apa yang menjadi liabiliti, berapa wang yang ada, ke mana pergi (saluran) wang.

“Kita akan berbincang, terutamanya persatuan yang nazak, apa anda mahu, melihat mana ketirisan agar dana dikembali semula kepada ahli gabungan,” kata Megat D Shahriman, ditemui pada sidang media di ibu negara.

Sebagai rekod, Megat D.Shahriman tidak memegang jawatan dalam ahli gabungan FAM.

Beliau kini menjawat jawatan Presiden MPM dan pernah memegang jawatan presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur.

Mengikut statut perlembagaan FAM, mana-mana individu boleh bertanding jawatan dengan syarat dicalonkan sekurag-kurangnya enam ahli gabungan (untuk jawatan presiden).

“FAM badan induk ruang besar, kalau ramai masuk (bertanding) best juga. Sehari sebelum tarikh tutup pencalonan mungkin saya dicalonkan.”

Sebelum ini, seorang ahli perniagaan dan individu korporat Sayf Ismail bersedia untuk jadi ‘calon bebas’ dengan menawarkan diri untuk merebut jawatan itu.

Nama Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub pula dicadangkan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan termasuk wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA).

Turut berminat dengan jawatan itu adalah mantan Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah apabila mengakui sedia bertanding merebut jawatan Presiden FAM.

Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin didakwa menerima gaji mencecah RM90,000 sebulan dan itu tidak termasuk elaun daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga Fifa.