TINDAKAN Datuk Ahmad Shapawi Ismail membuat laporan polis ke atas Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, disifatkan lawannya itu, sebagai memalukan diri sendiri.
Menurut Megat D Shahriman, beliau meragui sekiranya pasukan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu membuat kajian terlebih dahulu sebelum ke balai polis atau sebaliknya.
“Seolah-olah mereka tidak tahu intipati sebenar. Hanya membuat tindakan memalukan diri sendiri. Aduan saya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat jelas dan mereka ingin membawa kes ke mahkamah tinggi saya sedia untuk tampil (ke mahkamah),” katanya, dalam satu sidang media hari ini.
Semalam, Ahmad Shapawi tampil membuat laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, untuk menafikan tuduhan rasuah dilakukannya yang sebagaimana didakwa Megat D Shahriman dalam laporan kepada SPRM.

“Seperti rumah sudah siap pahat berbunyi. Untuk pihak yang kalah Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) (14 Disember lalu) sesiapa sahaja boleh membuat laporan (polis). Semua rakyat Malaysia boleh buat laporan, saya hanya biarkan sahaja pihak berkuasa jalankan siasatan.
“Mereka hendak buat laporan terpulang, ini negara bebas, bebas bersuara. Apa mahkamah dalam dunia pun saya akan hadir. Walaupun ke Switzerland sekali pun. Anda hendak saman, saya akan hadir, tiada masalah.
“Saya tidak tahu persatuan yang membuat aduan, tetapi saya menyerahkan keputusan itu kepada Jawatankuasa Tatatertib yang akan ditubuhkan tidak lama lagi selepas berakhirnya AGM pada hari berkenaan.
“Kadang-kadang kita terlalu berlembut, tetapi kita perlu kembali melihat disiplin kerana jika tindakan berkenaan tidak mempunyai asas yang sah, tiada bukti, dan boleh menjejaskan imej serta merosakkan hubungan.
“Bagi kami, kita lihat dahulu macam mana. Lagipun, ini bukan keputusan saya kerana Jawatankuasa Tatatertib yang akan membuat keputusan. Buat masa ini, AGM baru sahaja selesai dan jawatankuasa belum lagi dilantik, mungkin mereka akan tentukan.
“Pada 7 Januari ini, kita akan mengadakan mesyuarat dan itu merupakan mesyuarat Exco pertama yang akan diadakan, dan di sana, portfolio apa yang akan mereka putuskan. Jadi, Jawatankuasa Tatatertib akan menilai perkara ini,” katanya.