TIADA lagi usaha mengambil jurulatih mahupun perunding dari Thailand, ketika Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mensasarkan skuad negara mampu layak ke perlawanan akhir dalam empat acara pada kempen Piala Asia 2025.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, badan induk sepak takraw negara itu menaruh keyakinan sepenuhnya terhadap kepakaran tempatan.
“Tidak.. tak ada lagi dah, kita sudah belajar dari pengalaman ketika perunding yang kita lantik berpaling tadah, kembali ke Thailand bukan untuk melatih malah menjadi ahli pasukan lawan di Piala Dunia Sepaktakraw Istaf tahun lalu.
“Kita percaya kepada kemampuan jurulatih tempatan dan mana tahu, selepas ini negara lain akan menggunakan kepakaran kita sebagai perunding pula,” kata Sumali, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Tertinggi PSM, di ibu negara.
Malaysia akan menjadi tuan rumah pada kempen Piala Asia 2025 yang akan berlangsung pada 9 hingga 18 Mei depan di Stadium Titiwangsa.
Beliau berkata, setiap pemain perlu mengambil serius dan harus memastikan prestasi pasukan berada di tahap terbaik bagi memastikan pada kejohanan itu nanti, pasukan Malaysia boleh memberi tentangan sengit kepada negara lain.
Kejohanan itu bakal mempertandingkan empat acara iaitu beregu, regu, berpasukan dan quadran melibatkan penyertaan daripada 14 buah pasukan terbaik rantau Asia.
“PSM sasar keempat-empat acara yang dipertandingkan itu layak ke final kerana kita adalah tuan rumah. Jadi kita kena ambil kelebihan itu beraksi di tempat sendiri,” ujarnya.
Berkait penganjuran Piala Asia, Sumali memaklumkan pihaknya sudah memberi amaran Thailand berhubung isu kelewatan menghantar penyertaan dalam kejohanan berkenaan.
Jelasnya, perkara itu perlu dilakukan agar ia menjadi pengajaran dan meminta setiap negara menghormati kejohanan yang diadakan itu.
“Perkara ini kita ambil serius dan sebab itu saya buat kenyataan. Sebelum ini, kita tidak buat apa-apa kenyataan dan ia pernah berlaku pada Piala Dunia 2024.
“Mereka hantar lewat senarai nama itu daripada tarikh yang sudah ditetapkan. Seminggu selepas itu baru hantar dan ini kali kedua berlaku,” katanya.