PENYERANG Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah berkongsi kegembiraan rakan-sepasukan, Ivan Mamut yang membuka akaun jaringan ketika membenam Kelantan FC, pada Selasa.
Mengulas insiden bola sepakan penalti pada minit ke-67 itu, Mintah mengakui terpaksa menjadi orang tengah untuk meleraikan ‘perebutan’ antara Habib Haroon dan Mamut.
“Habib mahu mengambil sepakan itu namun saya memujuk dia agar beri peluang kepada Ivan (Mamut) kerana tekanan sangat tinggi dirasainya untuk mencari gol pertama bersama TFC.
“Alasan itu diterima oleh Habib dan kami cuma mahukan yang terbaik untuk pasukan. Saya gembira kerana Ivan menjaringkan dua gol malam ini (semalam).
“Dia (Mamut) bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dan kita boleh lihat usahanya mula membuahkan hasil,” jelas pemain kelahiran Ghana itu kepada FLASH SUKAN.
💥 Adisak Kraisorn meraikan gol pertamanya di SSMZA!#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/GW0FVPI22b
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 4, 2023
Dalam pada itu Mintah menjelaskan dia juga cuba membantu Mamut dan seorang lagi penyerang, Adisak Kraisorn menyesuaikan diri dalam Liga Malaysia (Liga M).
Katanya, mereka berkomunikasi setiap hati di dalam dan luar padang untuk membentuk keserasian selain cuba memahami gaya permainan masing-masing.
“Saya cuba kongsi pengalaman dalam liga tempatan bersama dua pemain itu dan persefahaman antara kami semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Walaupun merebut posisi sama dalam kesebelasan utama, saya anggap ianya persaingan sihat yang baik untuk TFC,” tambah Mintah.