KARIM Benzema tampil cukup luar biasa bersama Real Madrid musim ini. Oleh itu, Lionel Messi tanpa sangsi memilihnya memenangi Ballon d’Or 2022.
Benzema semakin cemerlang kariernya di Madrid sejak penghijrahan Cristiano Ronaldo. Ketika Gareth Bale, Eden Hazard dan deretan pemain hadapan Madrid tidak konsisten, Benzema menjadi mesin gol.
Pada musim 2021/2022 yang baru tamat, Benzema menghasilkan 44 gol dan 15 assist dari 46 penampilan, termasuk 27 gol yang menjadikannya penjaring terbanyak La Liga dan 15 gol sebagai penerajui gol di Liga Juara-Juara. Sebelum ini, Benzema tidak setajam ini sepanjang memperkuatkan Madrid.
“Tidak diragui lagi (siapa bakal meraih Ballon d’or 2022), jelas sekali bahawa Benzema tampil luar biasa musim ini dan berjaya menjuarai Liga Juara-Juara. Persembahan mantapnya boleh dilihat sejak Pusingan 16 lagi.
“Saya rasa pemenang Ballon d’Or tahun ini sudah pasti (Benzema),” ujar Messi kepada TyC Sports.
Lionel Messi masih jadi pemegang rekod tujuh Ballon d’Or dengan terakhir dimenanginya tahun lalu, ketika memimpin Barcelona menjuarai Copa del Rey dan Argentina menjulang Copa America.