Malaysian Football League (MFL) menegaskan pendaftaran empat pemain yang terlibat dalam isu dokumentasi sebelum ini dibuat mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia bagi musim 2025-2026.

Empat pemain tersebut ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dari Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Gabriel Palmero dari Kuching City FC.

Menurut MFL, keempat-empat pemain berkenaan didaftarkan sebagai pemain tempatan kerana memiliki kad pengenalan Malaysia yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pendaftaran tersebut selaras dengan Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Peraturan Pertandingan yang menetapkan pemain tempatan boleh didaftarkan dengan dokumen pengenalan seperti salinan kad pengenalan atau pasport melalui sistem pendaftaran FAM MYPAS (FIFA Connect).

Tiga pemain JDT didaftarkan dalam tempoh pertama pendaftaran pemain antara 9 Jun hingga 31 Ogos 2025, manakala Palmero pula didaftarkan oleh Kuching City FC dalam tempoh kedua pendaftaran dari 5 Januari hingga 1 Februari 2026 selepas menerima pelepasan sementara daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Dalam kenyataan sama, MFL memaklumkan keputusan untuk mengiktiraf pemain berkenaan sebagai pemain tempatan turut selaras dengan penjelasan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini yang menyatakan tiada isu terhadap status mereka kerana ia mematuhi peraturan pertandingan Liga Malaysia.

Sekumpulan individu yang mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat badan pengelola liga itu semalam bagi membantah isu berkaitan pemain terbabit semalam.

Sementara itu, MFL turut mengambil maklum mengenai tindakan sekumpulan individu yang mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat badan pengelola liga itu semalam bagi membantah isu berkaitan pemain terbabit.

Menurut MFL, pihaknya menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, namun menyeru agar sebarang ketidakpuasan hati disalurkan melalui saluran yang betul supaya keharmonian serta imej bola sepak negara dapat terus dipelihara.