OLEH : MOHD FARIQ

KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tanpa berselindung mengakui kekecohan yang membabitkan insiden bas milik pasukan skuad Gergasi Merah yang dirosakkan oleh penyokong-penyokong telah memberikan impak negatif kepada beliau biarpun berjaya membantu pasukannya layak ke pentas final Piala Malaysia 2022.

Semalam, Selangor mengesahkan perlawanan akhir Piala Malaysia selepas berjaya mendapatkan agregat 3-2 ke atas Terengganu FC (TFC) biarpun tewas 0-1 pada aksi kedua separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak.

Di sebalik penceritaan menarik Cheng Hoe yang telah dilantik sebagai jurulatih skuad Gergasi Merah dengan kekal rekod tanpa kalah setakat ini, bekas pengendali Harimau Malaya itu tampaknya sedikit sugul dan trauma dengan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku yang menyebabkan kerosakan bas milik pasukannya.

Ketika ditanya FLASH SUKAN, Cheng Hoe memberitahu beliau tampak sukar untuk memikirkan mengenai mentaliti sesetengah penyokong-penyokong yang jelas tidak mempamerkan semangat kesukanan tinggi dan masih menggunakan pendekatan agresif dengan menunjukkan contoh tidak baik kepada generasi muda.

“Sepanjang karier saya menjadi jurulatih, inilah kali pertama saya trauma dan takut apabila masih ada penyokong-penyokong berstatus samseng bola sepak dalam industri bola sepak Malaysia.

“Sepatutnya tahun 2022 adalah tahun tiada lagi golongan samseng bola sepak dan kita sebagai peminat tahu bahawa adat perlawanan yang menantikan pasukan menang dan kalah. Sebagai penyokong kita sepatutnya lebih berhemah, rasional dan profesional di mana menerima kekalahan juga sebahagian daripada semangat kesukanan tinggi.

“Zaman bola sepak moden sekarang bukan lagi gelanggang buat penyokong-penyokong tidak bermoral dan saya percaya penyokong-penyokong Terengganu sendiri kesal dengan perbuatan segelintir samseng bola sepak ini yang telah menjejaskan imej pasukan tuan rumah.

“Saya sangat berharap penyokong-penyokong bola sepak Malaysia akan menjadi lebih peka dan tidak berbaloi buat kita untuk menunjukkan sikap tidak baik yang akhirnya tidak memberikan sebarang faedah atau keuntungan kepada mereka sendiri jika masih bergelar sebagai samseng bola sepak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Selangor FC buat laporan polis, “Suasana cemas dalam bas pegawai dan pemain”

Cheng Hoe yang sebelum ini tewas kepada Selangor pada 2015 ketika membimbing pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan membantu KDA menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti setahun selepas itu, kini membawa skuad Gergasi Merah bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.