PENGENDALI skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Azlan Ahmad gembira kerana pasukannya dapat membawa pulang kelebihan dua gol di tempat lawan meskipun diikat Kuala Lumpur City 2-2 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium UM Arena.
Meskipun layak ke suku akhir sebagai pasukan tempat kedua Liga 1, Azlan tidak mahu menganggap pasukannya sebagai pilihan sebaliknya memuji usaha yang dilakukan anak-anak buahnya untuk sampai ke tahap ini.
“Syukur kerana kita dapat menjaringkan gol dan membawa pulang kelebihan dua gol di tempat lawan kerana itu adalah sasaran kami. Tidak ada tekanan pada pemain walaupun kami ingin pergi jauh dengan skuad ini bukan setakat ke suku akhir tetapi juga ke final.
“Ini adalah tahun pertama pasukan ini dan ini semua adalah usaha setiap pemain. kami bukan pasukan pilihan cuma pemain bekerja keras untuk sampai ke tahap ini,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Azlan bagaimanapun tidak mahu mengajar pemainnya untuk bermain secara bertahan pada perlawanan kedua nanti sebaliknya mahu mereka bermain secara terbuka dalam perlawanan kedua nanti.
“Kami tidak mahu menganggap dua gol ini sebagai kelebihan dan akan bermain seperti biasa dan akan bermain dengan permainan terbuka dan bukannya bertahan pada perlawanan kedua nanti.”