PEMAIN beregu wanita negara, Pearly Tan menerima buah tangan istimewa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail susulan perkembangan terkininya menjelang Piala Uber 2026.
Pearly sebelum ini mengesahkan tidak dapat menyertai skuad kebangsaan ke kejohanan berpasukan itu selepas mengalami kecederaan belakang yang berulang, sekali gus memaksanya memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan.
Menerusi perkongsian di media sosial, pemain itu meluahkan penghargaan atas ingatan yang diterima sambil menyifatkannya sebagai satu suntikan semangat dalam tempoh sukar.

(Sumber Gambar: IG Story Pearly Tan)
Tempat Pearly dalam skuad negara kini digantikan oleh Chong Jie Yu yang akan menyertai kem latihan di Denmark sebagai persiapan menghadapi kejohanan yang berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Malaysia dijangka mempertaruhkan beberapa gandingan muda dalam acara beregu wanita termasuk pasangan Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah.
Bagi acara perseorangan pula, cabaran negara bakal digalas oleh K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei.
Skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan, dengan misi memberikan saingan sengit dalam kempen Piala Uber kali ini.
(Sumber Gambar: FB BAM)