BERITA besar buat arena renang negara apabila Malaysia Aquatics (MAS) secara rasmi melantik Michael Kinross sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan yang baharu, berkuat kuasa 1 Mei 2026 dan pelantikan ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh prestasi skuad renang Malaysia ke tahap lebih tinggi di pentas antarabangsa.

Kinross hadir dengan latar belakang yang cukup mengagumkan, termasuk pengalaman bersama University of Pittsburgh dalam saingan NCAA Divisyen I serta lapan tahun bersama program elit Sandpipers of Nevada di bawah kendalian jurulatih terkenal, Ron Aitken.

Dengan sistem seperti Malaysia On Track (MOT) yang sedang diperkukuh, kehadiran Kinross dijangka melengkapkan ekosistem pembangunan sedia ada.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata, “Pelantikan ini mencerminkan komitmen kami untuk membina sistem berprestasi tinggi yang sebenar. Kami telah membina struktur dan laluan pembangunan selama tiga tahun dan kini tiba masanya untuk memastikan kepimpinan yang tepat dapat membawa hasil.”

Pengarah Teknikal MAS, Megan Oesting pula menyifatkan pemilihan Kinross sebagai satu keputusan strategik.

“Kami mahukan jurulatih yang memahami pembangunan atlet dari usia remaja ke tahap dunia. Michael memiliki pengalaman itu, termasuk berada dalam program yang melahirkan ramai Olimpian. Itu satu kelebihan besar untuk Malaysia,” jelasnya.

“Saya amat berbesar hati diberi peluang untuk memimpin pasukan renang kebangsaan Malaysia. Ini satu langkah besar dalam kerjaya saya dan tidak sabar untuk menyumbang kepada perkembangan sukan ini di Malaysia,” kata Michael Kinross.

Beliau dijangka akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh laluan pembangunan atlet, meningkatkan standard latihan harian serta membentuk budaya pasukan yang lebih kompetitif dan berdaya saing serta dengan visi jelas untuk mencipta kejayaan di Sukan SEA dan kejohanan antarabangsa lain, pelantikan Kinross sememangnya memberi sinar baharu kepada masa depan renang Malaysia.