PEMAIN import kesayangan penyokong Kelantan FC musim ini, Miguel Cifuentes seakan-akan memberi bayangan kemungkinan berhijrah pada jendela perpindahan kedua nanti, namun dia tidak mahu memberikan komen lebih lanjut kerana masih menghormati kontraknya bersama kelab itu.

Cifuentes atau mesra disapa Cifu itu kini menjadi sebutan bakal meninggalkan Kelantan kerana kualiti yang ada pada pemain tengah ini mendapat perhatian beberapa pasukan dalam Liga Super namun dia enggan melayan segala khabar angin itu.

Dia yang ditemui selepas perlawanan suku akhir Piala FA menentang Terengganu itu juga akur dengan kekalahan yang dialami pasukannya dan berterima kasih kepada penyokong The Red Warriors yang hadir ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.

“Kami kita berada dalam situasi yang amat sukar dan kurang baik. Saya berterima kasih kepada para penyokong yang hadir dan kami perlu lakukan sesuatu demi masa depan kelab ini.

“Khabar angin tentang kemungkinan untuk berhijrah itu sentiasa ada tetapi saya tidak melayannya kerana ketika ini saya adalah pemain Kelantan dan saya mahu menghormati kontrak bersama kelab ini dan juga para penyokong.

“Namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku tetapi saya berterima kasih kerana dapat bermain untuk kelab ini dan sangat menghargai sokongan penyokong kepada saya,” katanya.

Bekas pemain kelab La Liga, Elche itu turut mengakui ini adalah detik paling sukar yang pernah dihadapi sepanjang kariernya namun itu tidak mematahkan semangatnya sebagai pemain profesional dan mahu terus fokus untuk perlawanan seterusnya.

“Benar inilah kali pertama saya berdepan situasi teruk dan sukar dalam karier, tetapi inilah bola sepak dan kita tidak boleh terus bersedih sebaliknya perlu mengatasi situasi yang berlaku dan perlu reset minda dan kekal fokus untuk perlawanan seterusnya bagi mendapatkan keputusan positif demi penyokong,” tambahnya

Dalam perlawanan suku akhir itu, Kelantan tewas 2-4 kepada Terengganu sekaligus tersingkir dari saingan dan selepas ini berhadapan tugas berat menentang Kelantan United untuk aksi Liga Super yang melibatkan maruah pasukan dan hala tujunya di Malaysia selepas ini.