Select Page

“Miliki KL City FC bukan seperti membeli lukisan Mona Lisa” – Khalid Abdul Samad

“Miliki KL City FC bukan seperti membeli lukisan Mona Lisa” – Khalid Abdul Samad

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berkata, memiliki Kuala Lumpur City FC bukanlah seperti membeli lukisan Mona Lisa yang hanya mengeluarkan sekali modal sahaja.

Ini kerana sesiapa pun yang akan menjadi pemilik baharu kelab yang muncul naib juara Piala AFC 2022 itu perlu mengeluarkan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1 juta setiap bulan dalam pelbagai urusan membabitkan pasukan termasuk soal pembayaran gaji pemain serta pegawai yang ada.

Dia juga tidak menghalang mana-mana exco KLFA yang mahu membentangkan tawaran lain jika ada kerana setakat ini hanya Rinari Group Berhad sahaja yang menyatakan minat dan meletakkan deposit untuk membeli 51 peratus milikan KL City FC.

Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad

“Sebelum ada laporan yang mengatakan KL City FC ini sebagai kelab yang bernilai sehingga RM22.7 juta tetapi adakah ada individu atau badan korporat yang ingin membayar sebanyak itu ingin membeli pasukan ini.

“Ini kerana, memiliki kelab ini bukan seperti membeli lukisan Mona Lisa yang mana apabila dibeli ianya hanya digantung di dinding sahaja dan kemudiannya boleh membuat pameran dan membuat pungutan tiket masuk tanpa keluarkan modal baharu.

“Beli kelab bola sepak ini pula, pembeli tidak memiliki apa-apa kecuali nama sahaja dan perlu keluarkan RM1 juta sebulan untuk pelbagai urusan pasukan. Jadi perlu ada kesungguhan dan keberanian daripada pemilik baharu,” katanya yang ditemui pada satu sidang media khas di Kuala Lumpur.

Pengarah Rinani Group Berhad, Noor Azri Datuk Seri Azerai

 

Khalid juga berkata kesungguhan yang ditunjukkan oleh Rinani Group Berhad, sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia membuatkan KLFA teruja dan memberikan kepercayaan kepada firma perunding kewangan itu untuk menjadi sebahagian daripada pemilik KL City FC.

Urusan pengambilalihan kelab ini oleh Rinani dijangka akan dimuktamadkan selepas mesyuarat Exco KLFA pada 22 Februari 2023 dan Khalid juga mengesahkan firma berkenaan telah membayar deposit RM1 juta.

“Pengambilalihan ini akan dibincang dalam mesyuarat KLFA dan dijangka dimuktamadkan selepas itu. Segalanya akan dibentang dan saya percaya ia akan diterima kerana setakat ini Rinani menjadi satu-satunya badan korporat yang berani membuat tawaran.

KL City bergelar juara Piala Menteri selepas. menewaskan Perak FC, 3-0.

“Jika ada tawaran yang lebih baik dari barisan exco yang ada, mereka boleh bentangkan. Kita ada perjanjian tentang deposit dengan Rinani dan ia akan dipulangkan sekiranya pengambilalihan ini tidak menjadi kenyataan. Perkara ini tidak dibincang sebelum ini, kerana kita baru sahaja dapat tawaran,” tambahnya.

Peminat bola sepak tempatan baru-baru ini digemparkan dengan berita pemilikan baharu KL City FC oleh Rinani Group Berhad yang diketuai Pengarahnya, Noor Azri Datuk Seri Azerai yang berusia 23 tahun yang mahu membeli 51 peratus saham KL City bernilai RM5.1 juta berdasarkan harga yang ditetapkan exco KLFA RM10 juta pada tahun 2020.

Video Terkini

Loading...