KETUA Jurulatih Thailand, Alexander Polking mengakui skuad Malaysia dibawah kendalian Kim Pan Gon adalah sebuah pasukan yang bagus meskipun tidak dibarisi pemain dari skuad utama.

Namun buat masa ini, dia hanya mahu fokus kepada perlawanan pembukaan Kumpulan A yang menemukan Thailand dan Brunei di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dia mahukan tiga mata penuh kerana mahu memulakan kempen Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 dengan langkah kanan sebagai juara bertahan kejohanan ini dan gembira dengan persiapan pasukan setakat ini.

“Malaysia sentiasa kami anggap sebagai pasukan yang berbahaya dengan penyokong yang fanatik, lihat saya bagaimana ketika kami bertemu mereka di King’s Cup. Meskipun kali ini Malaysia berdepan masalah untuk mendapatkan kesebelasan terbaik namun mereka tetap menang dalam dua perlawanan persahabatan mereka.

“Esok adalah perlawanan yang sangat penting. Perlawanan pertama sentiasa penting kerana kami adalah juara bertahan dan perlukan kemenangan tanpa merendahkan kemampuan lawan. Permulaan yang baik sangat diperlukan sebelum kami kembali ke Bangkok untuk perlawanan kedua di hadapan penyokong sendiri.

Persiapan sedikit berbeza tahun ini dan kami hanya mempunyai dua minggu latihan dan bermain perlawanan persahabatan. Saya gembira dengan keadaan pemain yang sentiasa berjuang merebut tempat masing-masing. Kami mempunyai peluang yang baik dan saya gembira apabila akhirnya kami dapat memulakan kejohanan ini.

“Meskipun kami menang selesa ke atas Myanmar 6-0 namun saya bukan hanya melihat kepada jumlah jaringan tetapi lebih kepada persembahan dan persefahaman antara para pemain kerana banyak pemain baharu disenaraikan dan saya gembira dan yang penting adalah perlawanan esok,” katanya pada sidang media pra perlawanan.

Teerathon Bunmathan

 

Turut senada dengan pendapat Mano Polking adalah ketua pasukan, Teerathon Bunmathan yang menganggap perlawanan itu adalah penting walaupun sukar kerana mereka tidak mempunyai banyak maklumat tentang Brunei.

Meskipun tidak ramai pemain dari skuad Juara Edisi 2020 yang kekal, namun Bunmathan tetap optimis pasukannya mampu beraksi baik dan beberapa muka baharu perlu diberikan perhatian pada kejohanan kali ini.

Thailand memulakan misi mempertahankan kejuaraan bertemu Brunei esok sebelum berehat dan kemudiannya bakal bertemu Filipina, Indonesia dan Kemboja.