IMPIAN pasukan wanita Sabah FA untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) hampir menjadi realiti selepas berjaya menundukkan kelab Bangladesh, Rajshahi Stars dengan jaringan 2-1 di Stadium Likas.
Pasukan Sabah FA bermula garang apabila berjaya menemui gawang menerusi jaringan penyerang import dari Amerika Syarikat, Enzi Hakima lima minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Sambung separuh masa kedua, perlawanan terus kekal dengan jaringan 1-0 sebelum Enzi Hakima sekali lagi menembusi gawang Rajshahi Stars pada minit ke-80.
Selang enam minit kemudian, kelab Bangladesh itu akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi pemain gantian, Most Sultana, yang mencetuskan gol pertama buat pasukannya.
Juara Liga Wanita Bangladesh (BWFL), itu terus memburu gol penyamaan, namun Sabah kekal utuh mempertahankan kelebihan 2-1 hingga wisel penamat.
Skuad bimbingan Bobby Gonzales sebelum ini berjaya membelasah Rovers FC, pasukan dari Guam dengan jaringan 13-0.
Sabah FA tampak semakin bersedia untuk mengharumkan nama di pentas Asia selepas melakar rekod cemerlang dalam peringkat kumpulan kelayakan AWCL, sebelum meneruskan cabaran dalam aksi penentuan pada 23 Ogos ini.
Perjalanan ‘The Queens of Borneo’ diteruskan dengan cabaran getir menentang juara Liga Wanita India (IWL), East Bengal FC, yang dilihat sebagai pencabar utama selepas mendahului kumpulan pada peringkat awal kelayakan AWCL setakat ini.
Kredit Gambar: Facebook Rasmi Sabah FA Women’s Team