LATIHAN bersama cuma dua hari, tapi bermain macam sudah dua dekad bersama… itu rahsia di sebalik keajaiban skuad ASEAN All Stars menumbangkan kelab gergasi dunia, Manchester United, 1-0 dalam Piala Cabaran Maybank.

Lebih mengejutkan, persembahan ‘berani mati’ anak buah Kim Sang Sik itu hadir hanya berbekalkan persediaan minimum, namun cukup untuk membuat Stadium Nasional bergema dengan sorakan 72,550 penyokong.

Pengendali dari Korea Selatan itu sendiri terpinga-pinga dengan kematangan dan disiplin tinggi yang dipamerkan pemainnya, seolah-olah mereka bukan baharu disatukan kelmarin.

“Berlatih dua hari, tetapi bermain macam sudah 20 tahun bersama, itu yang berlaku malam ini,” katanya, penuh bangga dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Bukit Jalil.

Jaringan tunggal Mg Mg Lwin pada minit ke-71 sudah cukup untuk memahat sejarah dan menyentap ego United, yang sebelum ini gah sebagai naib juara Liga Europa.

“Satu penghormatan besar untuk kami, dan bukti nyata bahawa pemain ASEAN juga mampu berdiri sama tinggi dengan pemain bertaraf dunia,” ujar Sang Sik yang nyata sukar menyembunyikan senyuman puasnya.

Manchester United bakal melupakan luka ini apabila mereka berangkat ke Hong Kong untuk aksi seterusnya menentang skuad kebangsaan negara itu di Stadium Hong Kong, Jumaat ini.