Kredit Gambar: ADIDAS MY

PASUKAN Selangor FC memasang misi untuk kembali mewakili Malaysia di pentas Asia pada musim depan apabila menjadikan kelayakan ke kejohanan antarabangsa sebagai sasaran utama dalam saingan Liga Malaysia 2026/2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, sasaran itu didorong peluang untuk memberi tumpuan lebih kepada saingan domestik selepas jadual musim lalu yang padat dengan 52 perlawanan rasmi.

“Ya, sasarannya kita kena layak ke Asia pada musim berikutnya,” katanya pada majlis pelancaran kit Selangor FC bersama Adidas di Sunway Pyramid, semalam.

Menurutnya, tumpuan yang lebih besar terhadap saingan tempatan musim ini memberi ruang kepada pemain dan barisan kejurulatihan untuk beraksi dengan lebih konsisten, sekali gus memperbaiki pencapaian berbanding musim lalu.

“Target kami adalah untuk cuba perbaiki daripada musim lepas. Bila kita ada (perlawanan) domestik sahaja, lebih fokus boleh diberikan kepada pertandingan domestik. Jadi saya percaya ini memberi ruang terbaik untuk pemain-pemain dan juga jurulatih lebih fokus kepada saingan tempatan,” katanya.

Johan berkata, ketua jurulatih Kim Pan-gon juga berpuas hati dengan persiapan tujuh minggu termasuk kem latihan di Bangkok serta aksi pramusim yang dilalui skuad The Red Giants menjelang musim baharu.

Dalam masa sama, beliau mengakui harapan tinggi penyokong terhadap Selangor adalah sesuatu yang perlu diterima sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kelab, malah tekanan itu diharap menjadi pemangkin kepada pemain untuk bekerja lebih keras demi mencapai sasaran kembali ke pentas Asia.