MALAM Sabtu menjadi detik bersejarah bagi bekas wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Che Saad Noordin, dan dua sahabatnya, Ramli Osman, 71, dari Bentong, serta Azmi Osman, 55, dari Baling.

Ketiga-tiga mereka memulakan Kayuhan Basikal Musafir Malaysia-Mekah 2025, sebuah misi istimewa dan penuh bermakna.

Acara pelepasan rasmi diadakan semalam di Merlimau, Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh, yang juga Exco Melaka dan ADUN Merlimau.

Majlis ini mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat, merangkumi pelbagai kaum yang hadir memberikan sokongan padu.

“Semoga Allah membalas segala kebaikan Dr. Akmal dan semua masyarakat Merlimau yang menyokong perjuangan ini. Doakan kami selamat sepanjang perjalanan ini dan berjaya menunaikan misi Kayuhan Basikal Musafir Malaysia-Mekah 2025. Aamiin,” kata Che Saad.

Kayuhan ini bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga simbol kepada semangat, pengorbanan, dan keazaman tinggi para peserta dalam menjadikan misi ini sebagai satu ibadah dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

FLASH SUKAN melaporkan kayuhan dijadualkan bermula pada pagi Ahad dengan laluan awal meliputi perjalanan dari Merlimau ke Pengkalan Balak, terus ke Port Dickson, dan seterusnya ke negeri-negeri lain termasuk Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis sebelum tiba di sempadan Malaysia-Thailand.

Dari sempadan Malaysia, mereka akan meneruskan kayuhan melalui beberapa negara termasuk Thailand, India, Pakistan, Iran, UAE, dan akhirnya Arab Saudi.