Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang terus membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meraih satu lagi podium di Kejohanan Japan Track Cup II 2026 di Velodrom Izu, Jepun.

Pelumba berpengalaman negara itu meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu lelaki selepas menewaskan Ryan Taste dari Amerika Syarikat dalam perlumbaan penentuan tempat ketiga.

Kejayaan tersebut menyaksikan Azizulhasni mengumpul podium kedua berturut-turut di Velodrom Izu selepas sebelum ini turut memenangi gangsa dalam acara keirin di Japan Track Cup I.

Aksi konsisten dipamerkan “The Pocket Rocketman” sekali lagi memberikan petanda positif buat kem berbasikal trek negara menjelang beberapa kejohanan utama selepas ini.

Dalam perlumbaan penentuan podium itu, Azizulhasni menggunakan pengalaman luas dimilikinya untuk mengawal kayuhan sebelum memintas pelumba Amerika Syarikat berkenaan pada saat penting perlumbaan.