PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan mereka sudah menghantar surat permohonan dana baharu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) semalam (Khamis), bagi membolehkan dua pasukan profesional lebuh raya dapat mewakili negara ke Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Berbasikal Lebuh Raya PKBM, Norazman Abu Samah berkata, dokumen yang dihantar itu adalah sebagaimana diminta MSN sebelum keputusan muktamad diputuskan.

Menurutnya, jumlah dana yang dimohon adalah RM250,000 bagi setiap pasukan, seperti dicadangkan dalam surat perincian seperti diminta MSN.

Pengerusi Jawatankuasa Berbasikal Lebuh Raya PKBM, Norazman Abu Samah sahkan sudah menghantar aurat kepada MSN.| FOTO HARIAN METRO

“Permintaan dana itu datang daripada pihak kami dan segala butiran perincian sudah dijelaskan dalam surat yang diserahkan semalam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah, keputusan sama ada permohonan itu akan diluluskan atau sebaliknya kini bergantung sepenuhnya kepada pihak MSN.

Katanya, dana tersebut juga adalah sebagaimana diminta dua pasukan profesional TSG dan MPC, untuk membolehkan mereka melepaskan pelumba masing-masing mewakili negara di temasya serantau terbabit.

“Kami harap ada maklum balas positif kerana pasukan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan berbasikal lebuh raya negara,” katanya.

Sebelum ini Harian Metro, melaporkan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin menunggu perancangan rasmi PKBM yang dipercayai mengadakan mesyuarat Exco badan induk berbasikal itu esok (Sabtu), sebelum memuktamadkan jumlah dana yang bakal disalurkan bagi persiapan skuad negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand.

Namun Norazman menafikan bahawa mesyuarat Exco itu tidak melibatkan perancangan berbasikal lebuh raya ke Sukan SEA Thailand.