BEKAS wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Che Saad Nordin bersama dua lagi rakannya Ramli Osman dan Azmi Osman akan memulakan misi istimewa mereka, Kayuhan Basikal Musafir Malaysia ke Mekah 2025.

Kayuhan ini berobjektif untuk menunaikan ibadah Umrah dan Haji di Tanah Suci Mekah.

Majlis pelepasan rasmi akan diadakan pada 11 Januari 2025, selepas solat Isyak di sekitar Dataran Orang Kampung, Merlimau, Melaka dan bakal dirasmikan oleh Datuk Dr Akmal Saleh, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Ujar Che Saad, walaupun majlis pelepasan dilakukan pada malam hari, mereka akan bermalam di sebuah homestay berhampiran sebelum memulakan kayuhan keesokan harinya.

“Kayuhan dijadualkan bermula pada pagi Ahad, 12 Januari 2025. Laluan awal meliputi perjalanan dari Merlimau ke Pengkalan Balak, terus ke Port Dickson, dan seterusnya ke negeri-negeri lain termasuk Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis sebelum tiba di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Dari sempadan Malaysia, mereka akan meneruskan kayuhan melalui beberapa negara termasuk Thailand, India, Pakistan, Iran, UAE, dan akhirnya Arab Saudi. Perjalanan penuh cabaran ini memerlukan semangat yang tinggi serta sokongan moral dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia.

Che Saad memohon kemaafan sekiranya pernah menyinggung perasaan rakan-rakannya di media sosial sepanjang persahabatan mereka.

Beliau juga meminta doa daripada semua pihak agar misi ini dipermudahkan, dijauhkan dari segala masalah, serta dilimpahi rezeki. Kayuhan ini diharap dapat mencapai matlamat utama mereka untuk menunaikan Umrah dan Haji pada tahun 2025.

“Kami mohon doa dari semua sahabat agar kayuhan ini diberkati Allah dan segala urusan kami dipermudahkan,” kata Che Saad yang berasal dari Baling, Kedah.

Semoga misi mulia ini mendapat keberkatan dan menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus berjuang mencapai impian masing-masing, walau apa pun cabaran yang mendatang.