Johor Tigris dan PDRM Defenders meneruskan saingan GP Kuala Lumpur STL Premier 2026 dengan keputusan positif selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan, hari ini.
Johor Tigris terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan Kedah Eagles 2-1 dalam perlawanan Kumpulan B yang berlangsung sengit.
Johor memulakan aksi dengan baik apabila memenangi set pertama 15-10, namun Kedah bangkit memberikan tentangan untuk mengikat kedudukan menerusi kemenangan 15-13 pada set kedua.
Pertarungan semakin sengit pada set penentuan sebelum Johor memastikan kemenangan 15-13 untuk mengutip dua mata penuh.
Johor Tigris dijadualkan bertemu Kelantan Warriors esok, manakala Kedah Eagles perlu mendapatkan kemenangan ke atas pasukan sama bagi memastikan peluang mereka ke suku akhir terus terbuka.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, PDRM Defenders tidak berdepan masalah untuk menewaskan Selangor Pistons 2-0 menerusi keputusan 15-10, 15-10.
PDRM mempamerkan aksi lebih tersusun untuk menguasai kedua-dua set sekali gus memulakan kempen GP Kuala Lumpur dengan kemenangan straight set.
Bagi Selangor Pistons, kekalahan itu menyaksikan mereka perlu segera bangkit menjelang pertemuan menentang pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur Thunder, esok.
Aksi tersebut menjadi peluang penting buat Selangor untuk memburu kemenangan dan mengekalkan peluang melangkah ke suku akhir GP Kuala Lumpur.