Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui Arsenal masih berada di landasan terbaik untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris, namun kemenangan 2-1 ke atas pencabar utama itu menghidupkan semula peluang pasukannya.

Jaringan penyerang sensasi, Erling Haaland pada babak kedua memastikan tiga mata berharga buat City, sekali gus merapatkan jurang kepada tiga mata dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Guardiola menyifatkan keputusan itu sebagai suntikan moral penting buat skuadnya, tetapi menegaskan kedudukan masih memihak kepada Arsenal yang kekal di tangga teratas liga.

“Kami masih ada harapan, tetapi mereka kekal di puncak dan mempunyai kelebihan termasuk perbezaan gol,” katanya.

Beliau dalam masa sama memuji kekuatan Arsenal yang disifatkan sebagai pasukan lengkap dari segi fizikal dan taktikal sepanjang musim ini.

“Kualiti mereka jelas. Bukan mudah untuk kekal di atas jika tidak memiliki keseimbangan dalam pasukan,” katanya lagi.

Haaland dikawal ketat oleh pertahanan Arsenal. (Sumber Gambar: FB Premier League)

Perlawanan tersebut turut menyaksikan Haaland menamatkan kemarau jaringan dalam liga selepas dua bulan, meskipun berdepan kawalan ketat barisan pertahanan Arsenal yang diketuai William Saliba dan Gabriel Magalhães.

Penyerang Norway itu mengakui aksi fizikal yang ditampilkan lawan menjadi cabaran utama, namun tetap gembira dapat membantu pasukan meraih kemenangan.

“Saya berjaya menjaringkan gol dan itu paling penting,” katanya.

Mengulas prestasi Haaland sebelum ini, Guardiola menjelaskan jadual perlawanan yang padat menjadi antara faktor mempengaruhi ketajaman penyerang tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi penghargaan kepada kapten Bernardo Silva yang dijangka meninggalkan kelab pada penghujung musim selepas hampir sedekad bersama City.

City kini berpeluang untuk memintas Arsenal sekiranya berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan seterusnya menentang Burnley.

Sumber Gambar: Website Manchester City FC