BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo, tampil mempertahankan Ruben Amorim yang kini sedang berdepan tekanan hebat sebagai pengurus Manchester United.

Bekas bintang Red Devils itu menyatakan bahawa masalah sebenar kelab tersebut bukanlah terletak pada jurulatih, malah dia turut menyuarakan hasrat untuk menjadi pemilik kelab pada masa hadapan bagi menyelesaikan isu dalaman yang melanda.

Amorim, yang menggantikan Erik ten Hag bulan lalu, menghadapi permulaan yang sukar dalam tugasnya di Old Trafford.

Dalam sepuluh perlawanan pertama, United telah tewas lima kali, termasuk kekalahan 2-0 kepada Wolves baru-baru ini, yang merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan.

Namun, Ronaldo, percaya bahawa Amorim mampu mengubah situasi jika diberikan peluang dan sokongan yang mencukupi.

Memetik laporan media antarabangsa, pemain yang kini bersama Al-Nassr itu turut menekankan bahawa isu sebenar Manchester United adalah lebih kompleks daripada sekadar peranan jurulatih.

“Liga Perdana Inggeris adalah liga paling sukar di dunia, semua pasukan bagus, semua pasukan berjuang, semua pasukan berlari dan semua pasukan kuat. Bola sepak sekarang sudah berbeza, tiada lagi perlawanan yang mudah.

“Saya pernah berkata perkara ini satu setengah tahun lalu dan saya akan terus katakan masalahnya bukan jurulatih. 

“Masalah Manchester United adalah sama, ia bukan sekadar tentang jurulatih, ia jauh lebih besar daripada itu,” kata Ronaldo.

Ronaldo turut membuat kenyataan mengejutkan bahawa dia yakin mampu menyelesaikan semua masalah di Old Trafford sekiranya diamenjadi pemilik kelab tersebut.

Ronaldo yang kini cemerlang bersama Al-Nassr, dalam misi untuk mengejar gol ke-1000 buat dirinya

“Jika saya menjadi pemilik kelab, saya akan perjelaskan segala-galanya dan betulkan apa yang tidak betul di sana,” tambah Ronaldo.

Pemain yang memenangi lima kali anugerah Ballon d’Or itu turut berkongsi bahawa beliau lebih cenderung untuk menjadi pemilik kelab selepas bersara kelak berbanding menjadi jurulatih. 

Kenyataan itu memberi bayangan bahawa Ronaldo mungkin bercita-cita mengambil alih Manchester United pada masa depan.

Walaupun Amorim kini berada di bawah tekanan besar, sokongan daripada figura seperti Ronaldo pasti memberikan semangat tambahan buat pengurus muda itu untuk terus memperbaiki prestasi Red Devils.